‘Maradona baru’ hanya megah pada nama
JIKA anda pemain bola sepak berbakat, mempunyai ketinggian kira-kira lima kaki lebih dan berasal dari Argentina, anda mempunyai peluang cerah digelar ‘Maradona baru’.
Pakar bola sepak dan kaki pertaruhan turut mengharapkan kehadiran ‘Maradona baru’, yang mampu membawa Argentina menjadi kuasa utama bola sepak dunia.
Sekiranya anda menaip frasa itu (New Maradona) menerusi enjin carian internet, anda boleh mendapatkan 340,000 maklumat mengenainya dan itu hanya membabitkan laman web berbahasa Inggeris.
Ini bukan kali pertama persamaan dibuat antara bakat Lionel Messi dan kebolehan jurulatih kebangsaan negaranya itu.
Pemain Barcelona itu menyumbang gol ketika kemenangan 5-2 ke atas Getafe pada 2007 dan apa yang mencetuskan perdebatan ialah kehebatan Messi menggelecek dan memperdayakan lawan begitu menyamai kehebatan Maradona ketika menewaskan England pada Piala Dunia 1986.
Messi juga pernah menjaringkan gol menggunakan tangan. Kini selepas 12 tahun persaraan Maradona, penggantinya mungkin sudah ditemui.
Diego Latorre yang hilang tanpa dikesan selepas menyertai Fiorentina pada 1991, adalah ‘Maradona baru’ yang asal tapi bagaimana pula dengan senarai panjang pemain selepasnya.
Beberapa pemain Argentina turut dibandingkan dengan Maradona, tapi mereka kemudian tenggelam dan apakah Messi akan menerima nasib sama?
Hanya masa bakal menentukannya, tapi buat sementara ikuti senarai pemain yang gagal menepati ramalan untuk bergelar ‘Maradona baru’.
JAVIER SAVIOLA
Penyerang setinggi lima kaki enam inci (1.65m) itu digelar ‘Maradona baru’ apabila menjadi pemain termuda memenangi anugerah Kasut Emas, El Goleador, dalam liga Argentina. Dia mengatasi rekod jaringan Maradona pada 1978.
Perbandingan mereka terus berlaku hasil aksi cemerlang Saviola dalam Piala Dunia bawah 20 tahun apabila dia menjaringkan 11 gol dan dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan - sama seperti Maradona pada kejohanan edisi 1979.
Keputusan Saviola untuk meninggalkan River Plate, yang dibantunya memenangi kejuaraan liga Argentina dan menyertai Barcelona dengan kos perpindahan £20 juta (RM113.6 juta), memperkuatkan lagi perbandingan antaranya dan Maradona.
Nou Camp turut menjadi persinggahan pertama Maradona di Eropah sebaik meninggalkan Boca Juniors pada 1982.
Bagaimanapun selepas itu segalanya tidak menjadi. Saviola yang digelar ‘Arnab Kecil’, tidak lagi diberi perhatian di Barcelona dan perpindahannya ke Real Madrid pada 2007 gagal mengembalikan kariernya di landasan sepatutnya.
Dalam keadaan yang dilihat semakin buruk, dia mula dikaitkan dengan Newcastle United.
JUAN ROMAN
RIQUELME
Dia mungkin tidak kelihatan seperti Maradona (dengan ketinggian enam kaki (1.8m)) atau menyamai corak permainan Maradona, tapi dia jelas sekali mengikuti jejak langkah legenda itu dalam kariernya.
Kedua-duanya bermula di Boca Juniors, menyarung jersi nombor 10 serta berjaya sebelum berpindah ke Sepanyol dan kemudian bergelut di Barcelona.
Bagaimanapun, Maradona dan Riquelme terus mencipta kejayaan dengan menyertai kelab kecil dan kedua-duanya kembali ke Boca Juniors selepas itu.
Artikel dalam akhbar The Scotsman menggelarkan Riquelme sebagai ‘bapa’ kepada mereka yang bergelar ‘Maradona baru’ pada 2006.
PABLO AIMAR
Dengan ketinggian 5 kaki 7 inci (1.67m) dan menyarung jersi nombor 10, Aimar menepati gelaran ‘Maradona baru’ apabila membantu Argentina menjuarai Piala Belia Dunia Coca-Cola 1997.
Kejayaan dikecapi di River Plate membawanya ke Valencia yang dibimbing Rafa Benitez dengan perpindahan £20 juta (RM113.6 juta), di mana Aimar memenangi La Liga dan mara ke final Liga Juara-Juara.
Maradona pernah menyifatkan Aimar ‘penggantinya yang sah dan pemain terbaik dunia’ dan berkata, dia sanggup membayar wang untuk melihat aksi pemain itu.
Namun, nama Aimar semakin tenggelam daripada kelompok bintang dunia yang menjadi sebutan peminat ketika ini.
CARLOS TEVEZ
Maradona menggelar Tevez ‘utusan buat Argentina pada abad ke-21’ yang kedengaran seperti omong kosong Amerika Selatan tapi ada kebenarannya.
Pemain berbadan gempal dengan ketinggian lima kaki enam inci (1.65m) tapi menampilkan permainan bertenaga, Tevez digelar ‘Maradona baru’ apabila menyerlah ketika menyertai Boca Junior pada 2001.
Kedua-duanya begitu rapat dan Maradona mengakui penyerang Manchester United itu bagaikan anak kepadanya.
Artikel BBC Sports pada 2004 mengisytiharkan: “Maradona baru - Carlos Tevez - menyertai Corinthians dengan kos hampir AS$20 juta (RM72 juta) adalah calon terbaik untuk perpindahan paling aneh bagi tahun itu.”
Tapi, kita semua tahu apa berlaku selepas itu. Tevez bergelut mendapat tempat dalam kesebelasan utama Manchester United - keadaan yang tidak pernah dihadapi Maradona. Pengurus United, Alex Ferguson tidak menyenaraikannya dalam kesebelasan utama menentang Barcelona pada final Liga Juara-Juara Eropah, Khamis lalu.
ARIEL ORTEGA
Ortega menikmati kejayaan awal bersama River Plate dan berjaya menarik perhatian bola sepak antarabangsa dengan kepantasan dan kebolehan menggelecek yang dimilikinya.
Pemain tengah dengan ketinggian lima kaki tujuh inci (1.67m) menjadi kunci utama pasukan Argentina selama lebih sedekad dengan mewakili negaranya pada Piala Dunia 1994, 1998 dan 2002.
Tapi, seperti juga Maradona, kelakuan Ortega di luar padang memberi impak negatif terhadap prestasinya di padang. Ketagihan arak menjejaskan kariernya manakala sikap panas barannya kadangkala membawa padah.
Masih ingatkah insiden Ortega menanduk Edwin Van der Sar pada Piala Dunia 1998?
Rencana ABC: “Ortega digelar Maradona baru apabila menyerlah di pentas antarabangsa ketika remaja.”
ANDRES d’ALESSANDRO
D’Alessandro berlatih bersama pasukan West Ham bimbingan Harry Redknapp pada 2001 ketika berusia 19 tahun dan pengurus Hammers itu berkata: “Dia bakat hebat. Dia boleh bermain di mana-mana posisi.
“Dia begitu berbakat dan mempunyai kemahiran menakjubkan. Dia sama seperti Joe Cole, jadi bukan tindakan yang silap menggunakan khidmatnya.”
Lupakan saja Joe Cole, d’Alessandro digelar sebagai ‘Maradona baru’ selepas cemerlang dalam skuad remaja River Plate dan mempamerkan persembahan menakjubkan ketika Piala Dunia bawah 20 tahun pada 2001.
Hanya berketinggian lima kaki empat inci (1.6 meter), perancang permainan itu berpindah ke Eropah pada 2003 dengan menyertai pasukan Bundesliga, Wolfsburg dengan kos £6.2 juta (RM35.2 juta).
“Seorang pemain muda dari Argentina digelar ‘Maradona baru’ berlatih bersama West Ham,” lapor Daily Star pada Februari 2001. Namun, sehingga kini dia belum mampu menempatkan diri dalam kelompok utama bintang dunia.
FRANCO DI SANTO
Pemain muda berbakat Argentina paling baru ini menyertai Chelsea pada Januari 2008 selepas dua tahun bersama pasukan Chile Audux Italiano La Florida.
Di Santo berketinggian enam kaki empat inci (1.9 meter) dan bertubuh sasa, masih berpeluang menjadi Diego berikutnya. Kita akan melihatnya nanti.
“Dianggarkan hampir 10 kelab Liga Perdana Inggeris memburu tandatangan pemain berketinggian 6 kaki 4 inci berusia 18 tahun dari Argentina, Franco Di Santo yang dianggap sebagai Maradona baru,” lapor kolum gosip BBC Sports pada Ogos 2007.
CARLOS MARINELLI
Marinelli sebenarnya terlalu tinggi untuk dibandingkan dengan Maradona susulan memiliki ketinggian 5 kaki 11 inci (1.77m) tapi dia datang ke Eropah dari Boca Juniors, justeru ramai yang terlepas pandang aspek itu.
Begitu juga Middlesbrough yang mengambil pemain berusia 17 tahun itu pada 1999 dengan harga £1.5 juta (RM8.5 juta).
Dia menampilkan aksi terburuk di Teesside dan kembali ke Argentina sebaik dilepaskan pada akhir musim 2003.
Pengurus Boro, Bryan Robson berkata: “Orang sering melabel pemain dan saya harap dia mampu menjadi Maradona baru.
“Ia menjadi pembelian terhebat bagi kami tapi perjalanannya ke arah itu masih jauh.”
Robson, kenyataan anda itu tidak silap.
BENJAMIN
Akhirnya, seorang ‘Maradona baru’ yang sejati dilahirkan dan kami tidak maksudkan Lionel Messi.
Penyerang Atletico Madrid, Sergio Aguero dari Argentina dengan ketinggian lima kaki tujuh inci (1.67m) turut dikaitkan dengan El Diego dan bertunang dengan anak perempuannya, Ginanina yang melahirkan anak pertama pasangan itu yang juga cucu pertama Maradona, Februari lalu.
Benjamin adalah cucu pertama Maradona dan pelbagai ramalan mula timbul sama ada bayi itu bakal mengikuti jejak langkah datuknya.
No comments:
Post a Comment