Windows Vista
Oleh Afiq Hanifafiq@hmetro.com.my
WINDOWS Vista adalah versi keenam bagi keluarga sistem operasi Microsoft Windows yang mula dipasarkan pada 8 November 2006 dan ia dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 8 Februari 2007 menonjolkan antaramuka terkini yang cantik dan lutsinar dikenali sebagai Aero.
Walaupun baru berusia dua tahun berbanding sistem operasi sebelum ini, Vista menerima banyak kritikan sehingga menimbulkan kontroversi mengenai keberkesanan sistem terbabit di pasaran.
Namun, ia dinafikan Pengarah Kumpulan Perniagaan Pelanggan, Organisasi Perniagaan Pemasaran, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd, KT Ng yang menggambarkannya sebagai cabaran kepada semua produk baru di pasaran.
Menurut KT Ng, selepas lebih dua tahun di pasaran, Vista menunjukkan peningkatan dari segi jualannya apabila pengguna mula menerima sistem operasi terbabit sebaik memahami keperluannya secara menyeluruh.
"Memang diakui ketika peringkat permulaan sistem operasi Vista diperkenalkan di pasaran, ramai yang menganggap ia menyusahkan dan tidak stabil namun selepas beberapa tahun menemui pengguna, pandangan negatif itu terus lenyap," ujar Ng.
Mengulas mengenai penggunaan Vista yang dikatakan terlalu 'berat' untuk ditampung perkakasan perkomputeran, Ng memaklumkan pendapat itu hanya didorong salah faham mengenai spesifikasi sistem operasi diperlukan.
"Microsoft Vista memiliki enam versi yang berlainan mengikut keupayaan komputer masing-masing, kalau pengguna memasang versi Ultimate pada komputer berkeupayaan memori satu gigabait, pastinya ia tidak mencukupi," jelas Ng.
Katanya, Microsoft menyediakan enam versi berbeza bagi menampung keperluan perkakasan pengguna seperti 'Starter', 'Home Basic', 'Home Premium', 'Enterprise', 'Business' dan 'Ultimate'.
"Kesemua versi terbabit berfungsi secara berlainan. Mungkin ia menjadi salah faham apabila pengguna tidak diberi pemahaman jelas mengenai ciri setiap versi itu sehingga menimbulkan keraguan terhadap keupayaan Vista," katanya.
Ng berkata, walaupun pandangan negatif mengenai Windows Vista masih menular di kalangan pengguna, statistik yang ditonjolkan menunjukkan sebaliknya dengan penerimaan terhadap sistem operasi terbabit tidak pernah pudar.
"Mengikut kajian Itpsos Insight pada Disember 2007, lebih 71 peratus pengguna berpendapat Windows Vista lebih baik berbanding sistem operasi diguna pakai mereka sebelum ini.
"Selepas enam bulan pula iaitu pada Mei 2008, kajian dalaman mendapati 84 peratus pengguna yang memasang Windows Vista di tempat kerja atau rumah bersetuju untuk mencadangkannya kepada rakan lain," jelas Ng.
Katanya, Windows Vista mempunyai sistem keselamatan lebih baik berbanding XP dengan beberapa ciri diperbaharui menawarkan perlindungan yang tidak akan didapati pada produk lain.
"Ia termasuk kawalan akaun pengguna dan sistem pemacu enkripsi 'BitLocker' yang melindungi data walaupun pengguna kehilangan PC memandangkan pengguna kini lebih mudah alih dengan beberapa peranti," katanya.
Jelasnya, ia melegakan pengguna yang risau mengenai kehilangan data akibat kecurian terutama membabitkan maklumat tiada nilainya dalam sistem simpanan PC.
"Kajian kami juga mendapati Windows Vista mengurangkan kelemahan dari segi keselamatan sebanyak 20 peratus jika dibezakan dengan XP SP2 manakala ancaman 'malware' mampu dikurangkan 56 peratus," kata Ng.
Katanya, Windows Vista juga mempunyai kelebihan dari segi sistem mudah alih apabila ia mampu disepadukan dengan perkakasan berkaitab yang meningkat naik kebelakangan ini.
"Di samping itu, Windows Vista berjaya membuktikan keberkesanan dari sudut produktiviti apabila mampu mencari maklumat lebih pantas jika diperlukan dengan antaramuka mudah," tegasnya.
Bukti dikeluarkan penyelidik terkemuka iaitu IDC mendapati Windows Vista mengurangkan masa mencari maklumat kepada 42 peratus selain mengurangkan 16 peratus carian tidak berjaya berbanding XP SP2.
"Jadi, ke mana hala tuju Windows Vista selepas dilahirkan dua tahun yang lalu? Memang tidak dinafikan masyarakat terlalu terdedah kepada Windows XP kerana ia bertapak lebih enam tahun sejak 2001.
"Banyak aplikasi dibangunkan berdasarkan sistem operasi terbabit dan ramai juga yang bermain permainan komputer menggunakan perisian sama menyebabkan kesukarana menerima produk baru," katanya.
Beliau berkata, Microsoft menyedari pengaruh XP yang tegar di kalangan pengguna namun berusaha memberi kefahaman dari semasa ke semasa bagi mempromosikan Vista kepada mereka.
"Kalau dilihat di iklan atau pergilah ke gedung komputer Low Yatt, pengguna akan mendapati kebanyakan peranti menggunakan sistem operasi Windows Vista kerana ia adalah evolusi baru," ujar beliau.
Katanya, masalah aplikasi yang tidak dapat digunakan melalui platform Vista akan ditangani secara komperensif dengan kerjasama rakan kongsi bagi membolehkannya diselesaikan.
Mengulas mengenai kesediaan perkakasan PC yang mampu disesuaikan dengan Vista, Ng berkata ia bukan masalah besar kerana kebanyakan peranti dijual di kedai bukan lagi memiliki memori rendah.
"Ekosistem perkomputeran merubah segala-galanya membolehkan Windows Vista dipakai tanpa ragu," jelasnya.
Beliau turut membayangkan Microsoft kini bersedia untuk membawa Windows Vista dengan Pek Servis Ke-2 dalam tempoh suku kedua tahun ini.
No comments:
Post a Comment