Monday, July 6, 2009

Bacaan ayat suci mesti tepat

NABI Muhammad saw berhati-hati dalam menjaga kesahihan bacaannya.

Baginda walaupun dijamin terlepas daripada melakukan kesilapan, tetap menyemak bacaannya dengan Jibril setahun sekali iaitu pada Ramadan.

Perkara ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:

“Adalah (Jibril) mengemukakan kepada Nabi bacaan al-Quran setiap sekali setahun (yakni pada Ramadan). Maka pada tahun Baginda wafat dikemukakan kepadanya dua kali.

“Adalah Nabi beriktikaf 10 hari setiap tahun (yakni pada Ramadan). Maka pada tahun Baginda wafat, Baginda beriktikaf 20 hari.” (Hadis ke-4,614 daripada sahih Al-Bukhari)

Rasulullah juga menentukan beberapa sahabat berkelayakan dalam pembacaan al-Quran seperti Abdullah Ibnu Mas‘ud, Salim, Mu‘az bin Jabal, Ubai bin Ka‘ad, Zaid bin Thabit, Abu Musa Al-Asy‘ari, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Tolib dan Abu Darda’.

Rasulullah amat menitikberatkan pembelajaran dan ketepatan bacaan al-Quran serta perlunya diambil daripada orang berkelayakan.

Perkara ini dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abdullah Ibnu ‘Amr bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Ambillah bacaan al-Quran itu daripada empat orang iaitu Abdullah Ibnu Mas‘ud, Salim, Mu‘az bin Jabal dan Ubai bin Ka`ad.” (Hadis ke-4,615 daripada sahih Al-Bukhari)

No comments:

Post a Comment