Saturday, July 11, 2009

PUTUS CINTA : oleh kak fatimah syarha

Warga kampus demam 'exam'. Saya pun salah seorang di antara ribuan siswa-siswi yang disapa wabak 'final exam'. Saya suka belajar di 'library'. Hari itu, usai solat Asar di masjid, saya bergegas mahu mengulangkaji di 'library'. 'Library' penuh. Ramai pelajar yang tekun belajar, menyiapkan nota, mengadakan perbincangan dan ada juga yang kelihatan kelam-kabut menyiapkan 'assignment'.

Seperti biasa, setiapkali masuk ke 'library', jika tiada 'study group' yang dirancang, saya akan mencari tempat kegemaran saya belajar iaitu di ruang tempat duduk individu di tingkat dua, paling hampir dengan dinding. Saya suka duduk di tempat yang sama sebabnya saya sudahpun berkenalan dengan tempat itu. Jika saya memilih tempat lain, sudah tentu saya perlu memperuntukkan sedikit masa untuk berkenalan dengan tempat tersebut terlebih dahulu. Melihat suasana sekitarnya, mejanya, kerusinya, hiasannya, buku-buku yang ditinggal di atasnya dan sebagainya. Agak membazir masa.

Alhamdulillah, tempat kegemaran saya masih kosong. Saya segera mendudukinya. Belum sempat meletakkan buku-buku di atas meja, pandangan mata saya sedia tertumpu pada tulisan yang tertulis di atas meja tersebut. Dengan pensil.

Aku baru jerr putus cinta. Sedih gilerr…Adalah minah ni dia rampasnyeerr boyfwenz aku. Tension giler aku waktu 2…Pedih tul rase di hati ini…minah tu lak macam lah x de org lain. Boyfwenz aku gak dia nak. Argghh! Tensionnyerr belajar. Boringnyerr belajar. Argghh! Help me. Slack in this university. Oh…no!

DBP jangan marah saya ye. Saya bukan nak rosakkan bahasa. Saya cuma menyalin bulat-bulat luahan hati seorang siswi. Mungkin satu pendedahan kepada masyarakat tentang bahasa remaja kita. Saya bukan nak bercakap soal bahasa. Saya simpati pada siswi yang mengalami ujian cinta ni. Di bawah tulisan dengan pensil tu, ada respon daripada seorang siswi lain, tulisannya lebih kemas, dengan pen. Isy, menjadi-jadi vandalisme sekarang ni!.
Apapun, respon yang diberi mungkin sedikit-sebanyak dapat mengubat sekeping hati yang lara.
Cinta itu buta…
Redha je la…
Ada hikmahnya…
Mungkin ke dapat org yang lebih baik dari dia nanti...

Saya terfikir, apakah erti cinta yang telah menjajah minda remaja akhir zaman ini? Mana tidaknya, putus cinta membuatkan seorang insan merana. 'Study' jadi mangsa. Semua urusan tergendala. Hidup tak tentu hala. Harapan ibubapa, bangsa dan agama hampir binasa. Oh, bisa penangan cinta! Aduhai…

Saya teringat pula cerita seorang 'junior' yang datang mengadu masalahnya kepada saya. Ketika tu dah larut malam. Matanya merah, berair dan bengkak. Saya dapat menafsirkan dia dah pun berhari-hari berendam air mata. Dia menceritakan peritnya ditinggalkan pak we. Sudah seminggu hidupnya rasa terumbang-ambing. Hanya tangisan menjadi peneman.

Selama ini dia terlalu mendambakan cinta lelaki tu. Hinggakan dia sanggup lakukan apa saja asal dapat memenangi perhatiannya.Walaupun lelaki itu sering memperlekehkannya termasuklah menjadikan beg tangannya sebagai tempat membuang sampah, dia masih lagi mampu bersabar. Lelaki itu memanggilnya dengan panggilan 'bodoh' pun dia sabar saja. Baginya cinta itu memberi. Biarlah dia yang berkorban.

Memang 'pengorbanan'nya tinggi. Dia sanggup meluangkan banyak masa untuk mengajar lelaki itu mana-mana subjek yang sukar agar lelaki itu rasa terhutang-budi. Bukan itu sahaja, dia sanggup menyerahkan tubuhnya untuk dipegang-pegang ringan asalkan lelaki itu suka-hati. Lelaki itu suka mengambil kesempatan dan tak pandai menghargai malah sering pula mencaci dirinya. Akhirnya, lelaki itu jumpa perempuan lain dan dirinya ditinggalkan begitu sahaja. Remuk hatinya.

Remaja hari ini kebanyakannya resah bila belum berpunya. Melihat pasangan lain berdua-duaan ke sana ke mari. Terbit di hatinya keinginan yang sama. Perasaan itu fitrah dan kekal fitrah, suci dan bersih jika disalurkan ke jalan yang halal. Namun, benteng iman yang rapuh menyebabkan ramai pasangan remaja tersasar dalam cinta palsu mereka.

Bagi gadis suci yang belum berpunya, singkirkanlah resah di hatimu. Usah cemburu pada yang palsu dan menipu. Andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan, yakinlah.

Jangan risau jika masih belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dulu buat anda untuk terus melangkah menggapai cita-cita dan Dia pasti menguji anda
sedikit masa lagi. Bersiap-sedialah. Anda pasti dijodohkan. Jika tidak di dunia nun di syurga.

Begitu juga buat pemuda yang belum berpunya, tabahlah dan teruskan berusaha. Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan putus asa. Rasa mulialah dengan usaha yang dicurahkan walaupun pernah mengalami pinangan ditolak. Usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan di landasan-Nya. Teruskan berusaha! Satu tip memikat yang dikagumi oleh wanita beriman ialah apabila seseorang lelaki pandai memikat ibubapa si gadis sebelum memikat dirinya.

“Apa yang memberi faedah kepada orang beriman selepas takwa kepada Allah,
kebaikan buatnya ialah isteri yang solehah.” (HR Thobrani).

Dengarlah duhai remaja, bisikanku ini tulus untukmu. Dengarlah pesanku, cinta manusia yang kau damba seringkali mengecewakan. Allah s.w.t. memujukmu di dalam al-Quran, wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik, begitulah sebaliknya (rujuk al-Nur: 26). Telah tercatat seungkap nama pasangan di loh mahfuz untukmu. Cuma peribadinya ditentukan oleh sejauh mana ketinggian peribadimu. Allah Maha bijak mengatur yang sepadan, kufu'. Jika kau tekun membaiki peribadi ke jalan yang diredhai, si dia akan terpilih di kalangan orang yang membaiki diri juga.

Remaja beriman, putuskan cintamu dengan segala cinta palsu yang dimurkai Ilahi. Ikatkan hatimu pada cinta agung nan hakiki. Lupakan segala kegundahan. Ubatilah resah di hati. Dekatkan diri pada cinta Ilahi , nescaya cinta pasangan soleh dan solehah turut kau miliki. Senyumlah pada sinar yang menantimu di hadapan


sumber:
http://www.friendster.com/group-discussion/index.php?t=msg&th=2872481&start=0&

Monday, July 6, 2009

Bacaan ayat suci mesti tepat

NABI Muhammad saw berhati-hati dalam menjaga kesahihan bacaannya.

Baginda walaupun dijamin terlepas daripada melakukan kesilapan, tetap menyemak bacaannya dengan Jibril setahun sekali iaitu pada Ramadan.

Perkara ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:

“Adalah (Jibril) mengemukakan kepada Nabi bacaan al-Quran setiap sekali setahun (yakni pada Ramadan). Maka pada tahun Baginda wafat dikemukakan kepadanya dua kali.

“Adalah Nabi beriktikaf 10 hari setiap tahun (yakni pada Ramadan). Maka pada tahun Baginda wafat, Baginda beriktikaf 20 hari.” (Hadis ke-4,614 daripada sahih Al-Bukhari)

Rasulullah juga menentukan beberapa sahabat berkelayakan dalam pembacaan al-Quran seperti Abdullah Ibnu Mas‘ud, Salim, Mu‘az bin Jabal, Ubai bin Ka‘ad, Zaid bin Thabit, Abu Musa Al-Asy‘ari, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Tolib dan Abu Darda’.

Rasulullah amat menitikberatkan pembelajaran dan ketepatan bacaan al-Quran serta perlunya diambil daripada orang berkelayakan.

Perkara ini dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abdullah Ibnu ‘Amr bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Ambillah bacaan al-Quran itu daripada empat orang iaitu Abdullah Ibnu Mas‘ud, Salim, Mu‘az bin Jabal dan Ubai bin Ka`ad.” (Hadis ke-4,615 daripada sahih Al-Bukhari)

Sunday, July 5, 2009

Kuliah Ustaz Shamsuri Ahmad

Ustaz Shamsuri masih mengupas tafsir daripada surah ali-Imran berkenaan kaum Yahudi dalam kuliah maghrib Isnin lepas (15 Mei). Di akhir penyampaiannya, ustaz ada menyebutkan 5 soalan yang ditanya oleh kaum Yahudi pada Nabi Muhammad SAW sebagai bukti bahawa Nabi Muhammad adalah benar-benar seorang Nabi.

1. Apakah alamat (tanda) Nabi?
Seorang Nabi walaupun dia tidur (matanya pejam), hatinya tetap berjaga.

2. Bagaimana terjadi anak perempuan atau anak lelaki apabila benih lelaki dan perempuan bercampur?
Kalau benih lelaki lebih mendominasi, maka akan terjadilah anak lelaki. Kalau benih perempuan lebih mendominasi, maka akan terjadilah anak perempuan.

3. Apa benda yang Nabi Yaakub haramkan pada dirinya?
Daging dan susu unta. Nabi Yaakub pernah kena suatu penyakit, pelbagai ikhtiar dilakukan tapi penyakit tu masih tak sembuh. 1 hari, Nabi Yaakub minum susu unta dan penyakitnya disembuhkan Allah. Maka, Nabi Yaakub bernazar mengharamkan daging dan susu unta buat dirinya.

4. Guruh tu apa? Suara guruh tu suara apa?
Guruh adalah malaikat Allah yang ditugaskan untuk menghalau awan-awan ke tempat yang dikehendaki Allah dengan tongkat api. Suara guruh adalah suara malaikat untuk menghalau awan.
Setelah Nabi Muhammad SAW menjawab keempat-empat soalan tu, orang Yahudi telah berkata "Engkau benar. Tapi ada 1 soalan lagi yang perlu engkau jawab. Sekiranya engkau jawab dengan betul, maka kami akan beriman dengan engkau. Sekiranya salah, kami takkan mengikuti engkau."

5. Siapakah malaikat yang ada bersama-sama dengan Nabi?
Jibril a.s.
Setelah Nabi menjawab soalan kelima tu, orang Yahudi berkata "Jibril ni la yang telah membisikkan agar Nabi berperang, maka Jibril adalah musuh kami (Yahudi). Jika engkau menjawab Mikail (yang ditugaskan menurunkan rahmat), maka sudah tentu kami akan beriman denganmu.

Sebenarnya soalan kelima tu hanyalah sebagai alasan Yahudi untuk tidak beriman dengan Allah dan Rasul. Mereka memang tahu Nabi Muhammad benar-benar seorang Nabi. Begitulah sikap Yahudi sejak dulu lagi yang suka berputar-belit dan menipu.

Wallahua'lam